Friday, November 7, 2008

SALAM IMTIHAM... MA'AT TAUFIQ WAN NAJJAH


Salam Imtiham... buat semua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia amnya. juga ahli Persatuan Mahasiswa Terengganu di perantauan khususnya. Selamat menduduki peperiksaan akhir semoga mendapat kejayaan cemerlang.

Tip untuk berjaya: DUIT

D - Doa
U - Usaha
I - Ikhtiar
T - Tawakkal


Bismillahirrahmanirrahim…

Ya Allah.. dengan kebesaranMu yang di bawa bersama kalimah basmallah.. kami memohon kejayaan yang hakiki.. yakni kejayaan dari sisiMu.. sesungguhnya, Engkau lebih mengetahui erti kejayaan dari diri kami yang kerdil ini.. malah, telah Kau tetapkan segalanya yang terbaik untuk kami.. sekiranya kejayaan dalam peperiksaan kali ini merupakan sebahagian dari rezeki kami.. janganlah dengan kejayaan itu, ia menjauhkan kami dariMu.. sekiranya kegagalan dalam peperiksaan ini merupakan satu ujian untuk kami.. maka Kau teguhkanlah hati kami.. moga dengan kegagalan itu, kami lebih dekat denganMu.. kerana tidak ada yang lebih mengetahui sesuatu melainkan Engkau.. Ya Allah, telah kami berusaha, namun mungkin segala usaha kami tidaklah sehebat sesetengah dari kami yang lain.. ada tikanya kami terlalai dari tanggungjawab kami.. moga Kau maafkan kealpaan kami.. telah juga kami berdoa.. dan Engkau jualah Yang Maha Mendengar.. dan akhirnya kami bertawakal kepadaMu.. moga pilihan kami sentiasa merupakan pilihan terbaik buat diri kami.. sesungguhnya telah Kau bentangkan dua jalan untuk kami.. dan tiada yang ketiga, tiada juga yang di tengah.. maka Kau tetapkanlah hati ini untuk sentiasa memilih jalan yang lurus.. jalan yang membawa kebaikan kepada kami.. kebaikan dalam erti kata kejayaan hakiki.. tidak hanya dunia yang sementara.. tetapi akhirat yang selamanya itu yang lebih utama.. Ya Allah, Kau tidak pernah menzalimi hambaMu walau seberat zarah sekalipun.. dan tidak pernah Kau bebankan hambaMu dengan bebanan yang tidak dapat hambaMu pikul.. maka dengan itu, Kau tunjukkanlah kami.. Kau bimbinglah kami.. Kau terangilah kami.. jalan-jalan untuk kami menuju ke syurgaMu.. jadikanlah kejayaan dalam peperiksaan kali ini satu batu loncatan buat kami menegakkan agamaMu.. dan janganlah Kau lalaikan kami dengan kejayaan itu, setelah kami diberikan kejayaan.. Moga kami semua terus tsabat dalam memperjuangkan agamaMu.. tetapkanlah hati-hati kami di atas agamaMu.. dan di atas ketaatan kepadaMu.. dan di atas jihad pada jalanMu.. amin ya Rabbal ‘alamin..

Tuesday, November 4, 2008

Wahai Remaja ! Kawal nafsu jadi manusia mulia

NAFSU adalah sebahagian daripada manusia dan manusia tidak boleh berpisah daripadanya selagi bernafas. Malah, dengan nafsu dunia menjadi indah dan begitu menarik. Dengan nafsu juga manusia mempunyai keturunan dan manusia boleh membangunkan diri dan tamadun, sehinggakan dengan nafsu manusia boleh menjadi pincang.

Barangkali ada juga orang beranggapan, jika tiada nafsu di dalam dirinya, tidaklah dia terikut-ikut dengan nafsu. Tetapi nafsu adalah anugerah Allah. Di dalamnya ada ilham baik dan buruk, seperti maksud firman-Nya: "Kami ilhamkan kebaikan dan keburukan di dalam hati manusia."

Berjayalah sesiapa yang dapat mendidik hati sebagaimana kalangan nabi dan rasul. Ini kerana mereka yang boleh menguasai hati mampu menguasai nafsu. Sebaliknya, mereka yang rosak hati menjadi tunggangan nafsu.

Mulia atau hinanya manusia bergantung kepada sejauh mana manusia boleh atau tidak mengawal nafsu tetapi nafsu pula bukan untuk dibunuh atau dinyah daripada diri, cuma ia perlu dididik, diasuh dan dikawal sebaik yang mungkin.

Al-Quran membahagikan nafsu kepada tiga iaitu nafsu 'amarah' (nafsu jahat), 'lawwamah' (menyesal apabila buat kejahatan) dan 'mutmainnah' (tenang).

Apabila buta martabat nafsu, manusia akan teraba-raba dalam kegelapan, malah tidak tahu kedudukan di sisi Tuhannya.

Ada orang menyangka diri mereka mulia tetapi sebenarnya hina di sisi Allah. Ada orang dihina tetapi mulia di sisi Allah sebab berjaya mengawal nafsu. Ada juga orang berasa dia sepatutnya dimuliakan dengan kedudukan tetapi patut dihina di sisi Allah.

Bagi mengendalikan nafsu sama ada remaja atau orang dewasa, mereka kena mengetahui terlebih dulu pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu, iaitu:

- Terlalu cinta kepada dunia, sehingga tewas cinta Allah.
- Tamak haloba, hingga lupa kemahuan dan kemampuan diri. Maknanya, walaupun tidak mampu, mereka tetap mahukannya.
- Hasad dengki, iaitu berasa senang apabila orang lain mendapat musibah tetapi susah hati apabila orang lain mendapat kesenangan. Tidakkah dengki namanya itu?
- Wanita. Nafsu boleh rosak kerana wanita. Bagi lelaki, nafsu boleh jadi tidak terkawal apabila berdepan wanita.
- Gopoh gapah, maksudnya tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu.
- Taksub, iaitu sifat atau pegangan yang keterlaluan dalam menghadapi sesuatu. Disebut juga fanatik.

Selepas mengetahui pintu atau punca nafsu menjadi jahat, remaja perlu juga mengetahui cara untuk mengawal dan mengelakkan daripada bahaya nafsu jahat terbabit, antaranya:

- Tutup pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu tadi rapat-rapat.
- Hapuskan segala sikap kotor, jangan dengki lagi, jangan bersikap tamak dan jangan terlalu mencintai dunia.
- Hancurkan gangguan syaitan, iaitu dengan selalu berzikir terutama dengan zikir yang diajarkan Rasul seperti 'ma'thurat' dan baca al-Quran.
- Perbanyakkan solat sunat dan rajin-rajinlah bangun solat malam (qiyamullail).
- Banyak bersedekah.

- Berkawan dengan orang miskin.


Remaja sekalian! Sebagai Muslim, kita juga kena membiasakan diri mempunyai al-Quran kecil di tangan. Ini kerana apabila tiba gangguan syaitan tadi, terus buka Quran kecil, mudah-mudahan kita sentiasa dilindungi Allah, sebab keinginan kita untuk berzikir (mengingati Allah).

Kemudian, biasakan diri selalu menziarahi orang sakit atau orang yang hendak meninggal dunia, ziarah kubur dan tulis wasiat kerana perkara ini boleh mengingatkan kepada kematian, menginsafkan kita dan paling penting mendidik dan menguatkan hati supaya dapat menewaskan nafsu.